Home > News & Events > Corporate News


Jualan Tahan dimuktamad beberapa hari lagi

Utusan Malaysia - Jun 30, 2005


SHAH ALAM 30 Jun - Idaman Unggul Bhd., akan memuktamadkan urus niaga penjualan perniagaan insurans hayat milik anak syarikatnya, Tahan Insurance Malaysia Bhd. kepada Affin Holdings Bhd. dalam beberapa hari lagi.

Kami dijangka memeterai perjanjian jual beli bagi keseluruhan perniagaan insurans hayat dalam beberapa hari ini,'' kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Che Mohd. Annuar Che Mohd. Senawi selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Rundingan antara Idaman dengan Affin telah berlangsung sejak bulan Mac lalu, selepas dua percubaan menjual perniagaan insurans hayatnya membabitkan Generali Asia NV dan Southern Bank Bhd. menemui kegagalan.
Annuar berkata, penjualan perniagaan insurans hayat itu berupaya menjana dana secukupnya untuk membayar sebahagian pinjaman syarikat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tahan Insurance, Izzuddin Tajudin berkata, Tahan mencatatkan dana keseluruhan pemegang saham sebanyak RM17.98 juta pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding RM16.21 juta pada tahun 2003.

Pencapaian ini adalah hasil sumbangan keuntungan bersih sebanyak RM1.77 juta pada tahun berkenaan.

Kemajuan dalam perolehan adalah disebabkan defisit rendah yang dipindahkan daripada perniagaan am sebanyak RM5.54 juta berbanding RM39.01 juta pada 2003 dan RM7.19 juta pulangan daripada peruntukan cukai,'' kata beliau.

Pada masa ini, kata Izzuddin, Tahan memiliki 67 peratus portfolio dalam perniagaan insurans motor dan 33 peratus insurans am.




 
<Back to Corporate News>