TAHAN Insurance Malaysia Bhd (Tahan Insurance) dengan kerjasama Dagang
Net Technologies Sdn Bhd, memperkenalkan penyelesaian e-Cargo Insurance
bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya membeli insurans kargo marin
melalui talian internet.
Ia diperkenalkan bagi memenuhi keperluan insurans pengimport, pengeksport,
pengeluar, penyedia pengangkutan dan logistik, ejen kewangan, broker insurans
dan institusi kewangan.
Ketua Pegawai Operasi (Insurans Am) Tahan Insurance Malaysia Bhd, Chong
Wai Hong, berkata penyelesaian itu sangat praktikal kerana ia menjimatkan
masa daripada satu bulan kepada hanya separuh hari bagi proses permohonan
hingga ke pembayaran insurans terbabit.
Beliau berkata, penyelesaian e-Cargo Insurance juga diharap akan dapat
meningkatkan pertumbuhan premium portfolio insurans kargo marinnya sebanyak
dua kali ganda daripada tiga ke enam peratus pada tahun depan.
“Penyelesaian ini mempunyai tiga fasa iaitu daripada permohonan
hingga pembayaran. Fasa pertama e-Cargo Insurance dijangka dilancarkan
pada 1 Disember ini manakala, fasa kedua membabitkan permohonan polisi
dan sijil perlindungan terbuka dijangka siap pada akhir tahun ini.
“Fasa ketiga pula berkaitan pembayaran secara talian dijangka siap
pada suku kedua 2006,” katanya.
|